Allah Taala mencipta segala-galanya dan Allah Taala tidak berhajat kepada ciptaannya sedangkan semuanya berhajat kepada Allah Taala. Segalanya dari 7 petala langit hingga 7 petala bumi serta juga apa-apa yang ada diantara keduanya termasuk ruang waktu dan tempat diciptakan oleh Allah Taala. Dan tiada sesuatu apa pun yang menyerupai Allah Taala.
ليس كمثله شىء
“Tiada suatupun yang sama seperti-Nya” [Surah al-Shura, ayat 11]
Imam al-Qurtubi rah. berkata ketika mentafsir ayat di atas dalam kitabnya Tafsir al-Qurtubi:
وقد قال بعض العلماء المحققين: التوحيد إثبات ذات غير مُشْبِهَة للذوات ولا مُعَطَّلة من الصفات وزاد الواسطي رحمه الله بيانًا فقال: ليس كذاته ذات ولا كاسمه اسم ولا كفعله فعل و لا كصفته صفة إلا من جهة موافقة اللفظ... وهذا كله مذهب أهل الحق والسنة والجماعة رضي الله عنهم
“Dan sesungguhnya sebahagian ulama muhaqqiqin telah berkata: “Tauhid itu ialah penetapan suatu zat yang tidak menyerupai zat-zat yang lain dan tidak menafikan sifat-sifat, al-Wasiti menambah suatu penjelasan dengan berkata: “Tiada suatu zat pun seperti zat-Nya, tiada suatu perbuatan pun seperti perbuatan-Nya dan tiada suatu sifat pun seperti sifat-Nya melainkan dari segi persamaan lafaz… Dan ini semuanya ialah mazhab Ahlul-Haqq was-Sunnah wal-Jamaah radiyallahuanhum”. (Intaha)
Rasulullah s.a.w bersabda:
كان الله ولم يكن شيءٌ غيره
Mafhumnya:
“Allah ada azali dan selain-Nya tiada pun”. (Bukhari dan al-Bayhaqi)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani rah. didalam kitabnya Fathul-Bari menghuraikan hadis tersebut sebagai:
والمراد بكان في الأول الأزلية وفي الثاني الحدوث بعد العدم
“Dan maksud kana dalam lafaz yang pertama ialah keazalian (kewujudan tanpa didahului oleh ketiadaan atau kewujudan tanpa permulaan) dan dalam lafaz kedua ialah kebaharuan selepas ketiadaan (kewujudan yang didahului oleh ketiadaan atau kewujudan yang ada permulaan)”. Intaha.
Dengan itu, sesungguhnya Allah Taala sentiasa wujud azali dalam keadaan tiada sesuatu apa pun yang bersama keazalian-Nya. Tiada sesuatu seperti tiada air, tiada udara, tiada bumi, tiada langit, tiada Kursi, tiada Arasy, tiada manusia, tiada jin, tiada malaikat, tiada tempat dan tiada suatu masa pun bersama keazalian-Nya. Dengan itu, Allah Taala wujud sebelum kewujudan tempat dan Dia-lah yang telah mencipta tempat dan Arasy serta Dia tidak berhajat langsung kepada ciptaan-Nya.